Sunday, November 22, 2009

KONVOKESYEN PASTI PANTAI BARAT SABAH 2009




Para ibu bapa disaran memandang serius tentang keperluan pendidikan Islam anak-anak sejak kecil bagi menghadapi cabaran masa kini.

Saranan itu dibuat oleh Saudara Lahirul Latigu, Ketua Dewan Pemuda PAS (DPP) Negeri Sabah semasa berucap di hadapan 500 ibu bapa dan tetamu yang hadir bagi merasmikan Konvokesyen Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Pantai Barat Sabah kali ke 19 di Pusat Perdagangan Sabah (Sabah Trade Centre) Likas pada 14 november lalu.

Katanya, dalam dunia yang serba mencabar, pemantapan daripada sudut pendidikan Islam seperti aqidah, akhlak, ibadah dan seumpamanya perlu ditekankan.


Oleh itu katanya, Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) menawarkan diri untuk membantu masyarakat bagi mendidik anak bangsa menjadi insan yang berakhlak mulia sebagaimana yang dituntut oleh Islam.

Menurutnya lagi, sambutan masyarakat terhadap PASTI semakin menggalakkan dengan 43 PASTI di seluruh Sabah sehingga 2009. Bahkan PASTI Kawasan Tawau telah diiktiraf sebagai PASTI terbaik seluruh Malaysia dalam sambutan 25 tahun PASTI Peringkat Kebangsaan di Kelantan baru-baru ini.

Terdahulu, wakil ibubapa Cikgu Tamin Ongki mengharapkan semua pihak daripada guru, ibu bapa dan pengurusan PASTI agar sama-sama menggembeling tenaga, buah fikiran dan kewangan bagi memajukan lagi PASTI di Sabah.

Sambil mengucapkan tahniah kepada penganjur, pengurusan PASTI katanya harus bersedia menghadapi cabaran dan saingan daripada pra-sekolah yang semakin bercambah dengan menumpukan kualiti pengajaran dan pengurusan PASTI.

Dalam konvokesyen berkenaan, seramai 208 pelajar PASTI berumur 6 tahun menerima sijil tamat belajar masing-masing dalam suasana yang penuh meriah.

Majlis yang sama turut menobatkan adik Sofia Natalia Binti Muhammad Shah Rizan (5 tahun) dan Nurul Aqilah Syazwana Binti Bahtiars (6 tahun) sebagai penerima Anugerah Pelajar Terbaik Ibnu Sina bagi tahun ini.

Kedua-dua mereka adalah dari PASTI al-Amal Kg Likas.

Majlis berkenaan juga turut dimeriahkan dengan ucapan wakil pelajar Muhd Zulhisham Md Shefee (PASTI al-Hikmah Sembulan), persembahan sajak oleh pelajar PASTI al-Furqan Kinarut dan pantomen bertajuk ‘Nyamuk & Namrud’ oleh pelajar-pelajar PASTI al-Amal Kg Likas yang mencuit hati penonton.

Keseluruhannya, konvokesyen berkenaan mengumpulkan lebih 300 pelajar terbaik berumur 4-6 tahun yang mendapat tempat pertama hingga ketiga selain pelajar 6 tahun yang tamat belajar daripada 14 buah PASTI sekitar pantai barat termasuk dari Beaufort.

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Exco DPPP Ustaz Annuar Ali, YDP Kawasan Putatan dan Sepanggar.

Sumber dari blog
http://abunuha.wordpress.com

0 comments:

Post a Comment